Subsidi petrol bersasar ikut cc kenderaan bakal dilaksana, guna data dari JPJ – menteri KPDN

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Salahuddin Ayub menyatakan bahawa mekanisma untuk memberikan subsidi bahan api petrol secara bersasar sudah hampir lengkap, dan ia akan menggunakan data dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengenal pasti mereka yang layak menerima bantuan tersebut, lapor Bernama.

“Jadi dari segi data itu (subsidi bersasar) sudah hampir lengkap untuk kita berikan data itu kepada Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) tentang bagaimana kita boleh buat subsidi bersasar ini,” katanya ketika mengulas mengenai rancangan kerajaan terutama KPDN yang juga sekretariat kepada Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) berkait mekanisme subsidi bersasar dan pelaksanaannya di Johor Bahru hari ini.

Menurut Salahuddin Ayub dalam laporan berkenaan, pangkalan data JPJ boleh digunakan untuk pelaksanaan subsidi petrol RON 95 memandangkan kerajaan dapat mengenal pasti golongan yang layak menerima subsidi berdasarkan jenis kuasa kuda (cc) kenderaan dimiliki.

Menteri berkenaan menyatakan bahawa kertas cadangan mengenai subsidi bersasar sebelum ini sudah dibentangkan ketika mesyuarat NACCOL yang dipengerusikan perdana menteri pada Selasa lepas.

“Perdana menteri sudah memberikan arahan supaya perkara itu (mekanisme subsidi bersasar) diteliti. Tetapi buat masa ini kerajaan masih lagi meneruskan polisi yang ada iaitu kita tidak menarik balik (subsidi) ataupun tidak menaikkan sebarang tarif yang kita rasa boleh membebankan rakyat.

“Jadi polisi itu masih diteruskan sehinggalah Kabinet memutuskan mengenai perkara itu (subsidi bersasar) kelak,” katanya.

Seperti yang kita ketahui, buat masa sekarang harga kereta yang dijual dalam pasaran bukan seperti 20 tahun lepas. Ini kerana kini banyak kereta mewah sudah dijana oleh enjin berkapasiti kecil tetapi dipadankan dengan pengecas turbo bagi menghasilkan kuasa kuda besar.

Misalnya Mercedes-Benz C200 Avantgarde W206 dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM287,888, tetapi hanya dijana oleh enjin 1.5 liter (1,500 cc) disuap dengan turbo menghasilkan kuasa 204 PS/300 Nm. Manakala Proton Iriz dalam varian tertinggi iaitu Iriz Active dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM57,300, hadir dengan enjin 1.6 liter (1,600 cc) NA berkuasa 109 PS/150 Nm.

Jadi bagaimana kerajaan menyelesaikan perkara ini? Sama-sama kita nantikan.

Related Posts